Terkini @PRK Kuala Besut

Thursday, June 27, 2013

Tewas DUN Kuala Besut tak jejas BN

Kedudukan Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju kerajaan negeri tidak terjejas sekalipun tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut susulan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar, semalam.

Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, BN masih ada kelebihan dalam DUN kerana Yang Dipertua dilantik daripada parti itu.

“Dengan pemergian Allahyarham Dr A Rahman tetapi dicampur Yang Dipertua, BN masih ada 17 wakil berbanding pembangkang, 15, dalam DUN.

“Jika BN tewas di PRK Kuala Besut, kedudukan tidak terikat 16-16 kerana BN ada kelebihan berikutan Yang Dipertua daripada BN dan mempunyai kata pemutus.

“Lagipun bagi pembangkang, 14 daripada daripada PAS manakala seorang Parti Keadilan Rakyat. Bagaimana mereka hendak membentuk kerajaan kerana mereka bukan satu parti, sebaliknya pakatan yang dibentuk berbentuk persefahaman saja.

“Berbeza jika kerajaan belum ditubuhkan selepas Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) dan kedudukan pula terikat dengan BN serta pembangkang masing-masing memenangi 16 kerusi.

“Ketika itu, Sultan mempunyai kuasa untuk memilih parti yang baginda kehendaki menerajui kerajaan,” katanya yang juga ADUN Kuala Berang.

Pada PRU-13 lalu, BN memenangi 17 daripada 32 kerusi dipertandingkan.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Samsul Adabi Mamat berkata, kerajaan BN boleh terus memerintah kerana sudah membentuk kerajaan negeri selepas PRU-13 lalu. “Andai dalam PRK keputusannya seri, perlu melalui perbincangan serta permuafakatan mengenai beberapa perkara. Berbeza jika keputusan seri dicapai pada pilihan raya umum kerana kerajaan belum dibentuk. “Kedua-dua parti (jika seri) boleh mendapatkan nasihat istana ataupun membentuk kerajaan campuran. Tetapi dalam hal ini, kerajaan negeri sedia ada akan terus memerintah,” katanya.

Kematian Dr A Rahman pagi semalam akibat masalah pernafasan mengundang perbahasan di Internet sekiranya keputusan PRK kelak BN kekal 16 kerusi manakala pembangkang tambah satu kerusi. DUN Terengganu memiliki 32 kerusi.

No comments:

Post a Comment